Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
Warga Melayu ⁽¹⁴⁵⁰⁻⁰⁹⁻ᴷᴰᴴ⁾

Tiada Paksaan

Kalimah Takwa atau lebih sinonim di pendengaran kita sebagai Kalimah Syahadah ialah kalimah Asli yang menjadi kunci gerbang seseorang manusia Mukallaf berpindah daripada Daerah Kegelapan Kufur dan Maksiat kepada Daerah Terang Bersinar Iman dan Taat. Kalimah ini bukan paksaan. Diulang BUKAN PAKSAAN.

“Tiada Paksaan dalam menerima agama”

Tiada siapa boleh memaksa dan tiada siapa boleh menjadi magnet Kalimah Takwa melainkan dengan kehendak Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya.

Kalimah Takwa adalah kalimah yang mula-mula sekali diajar kepada Nabi Adam a.s. apabila ingin kembali kepada Allah di bumi Sri Lanka setelah 300 tahun menyesali dan menangis memohon keampunan Allah. Kalimah ini kemudiannya diwarisi oleh anak baginda Nabi Syits a.s.

Ketika kalimah ini diwarisi Nabi Idris a.s. diriwayatkan tiada langsung manusia lain menyambut seruan dakwah Nabi Idris a.s. sehingga baginda bersahabat dengan Malaikat Izrail Si Pencabut Nyawa. Malaikat Kiraman Katibin yang membawa amalan ke langit dilihat hanya membawa bekas berisi kegelapan melainkan satu bekas yang dimiliki Akhnukh sahaja yang bercahaya gilang-gemilang. Akhnukh iaitu nama lain bagi Nabi Idris a.s. sahaja mewarisi mempusakai kalimah ini pada Hati, Lidah dan Anggota sehingga amalannya sahaja diterima di sisi Allah. Akhirnya Izrail a.s. bersahabat dengan Nabi Idris a.s. dan baginda menetap terus di syurga.

Kalimah ini tetap terpelihara. Kalimah sakti anugerah Ilahi. Diwarisi pula kepada Nabi Nuh a.s. melalui perantaraan Jibril a.s. dan hanya empat puluh pasang manusia sahaja menerima dan mempusaka dalam gerak kerja dakwah Nabi Nuh a.s. yang menjangkau 950 tahun. Tiada paksaan, Nabi Nuh a.s. redha dan laksana kerja dakwah tanpa peduli jumlah dan penerimaan manusia melainkan harap redha Allah semata-semata. Baginda memaksa anaknya Si Kan’an agar bersama ke dalam BAHTERA namun anaknya berdegil mahu memanjat bukit yang tinggi. Allah lalu menegur Nabi Nuh a.s. “Adakah ada lagi kasih lebih daripada Allah dan adakah ada lagi kehendak melainkan kehendak Allah?”. Hanya Ham, Sam dan Yafits sahaja terselamat dan melatalah di muka bumi membentuk bangsa Afrika, Eropah dan Asia.