Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
Warga Melayu ⁽¹⁴⁵⁰⁻⁰⁹⁻ᴷᴰᴴ⁾

Kisah Wali Yang Di Sumpah.

Al kisah pada zaman Nabi Musa a.s. ada seorang lelaki yang taat beribadah kepada Allah yang diberi nama Bal’am bin Ba’urak. Kerjanya adalah beribadah kepada Allah siang dan malam sehinggalah namanya lekat dibibir orang-orang berdekatan bahawa Bal’am ini seorang Wali dan doanya dimakbulkan Tuhan. Kemudian pada suatu masa yang sama, Nabi Musa a.s. membuat pengumuman bahawa Bani Israel akan ke Palestin bagi menuntut semula tanah Bani Israel di sana iaitu dengan cara berperang. Bani Israel yang umum mengetahui sebagai pengecut cuba mengelak dari berperang. Mereka takut mati dan sebagainya cuba menghasut Bal’am agar berdoa supaya tidak jadi perjalanan mereka untuk berperang. Bal’am tidak sanggup dan tidak akan berdoa kepada Musa a.s. kerana Nabi Musa a.s. itu nabi lagi rasul Ulul Azmi sedangkan dirinya hanyalah Wali. Tidak boleh Wali berdoa buruk-buruk kepada nabi lagi rasul. Setelah pujuk rayu terus kepada Bal’am gagal, Bani Israel tidak berputus asa. Mereka cuba pula pujuk rayu melalui isteri Bal’am. Bal’am tetap berkeras tidak akan berdoa sehinggalah pada satu malam apabila keinginan kepada isterinya memuncak. Isterinya hanya akan melayan Bal’am sekiranya dia mendoakan keburukan kepada Nabi Musa a.s. Bal’am mendoakan juga setelah tewas kepada godaan nafsunya sendiri maka sesatlah Nabi Musa dan para pengikutnya di Lembah Sinai selama 40 tahun. Pada masa yang sama Allah sumpah Bal’am dan isterinya menjadi sepasang babi hutan akibat JAHAT ADAB mendoakan buruk kepada nabinya sendiri. Firman Allah dalam Surah al-Maedah ayat 60;

قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ۬ مِّن ذَٲلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِ‌ۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡہُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ شَرٌّ۬ مَّكَانً۬ا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

“Mafhumnya; Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul. “

(Hikayat) Dalam munajat Musa a.s. di Thursina, baginda bertanya terus kepada Allah siapakah yang akan menjadi jiran tetangganya di syurga kelak. Maka Allah memberi tahunya si Fulan bin si Fulan tinggal di suatu tempat. Turunlah Nabi Musa a.s. dari munajatnya maka bersegeralah baginda mencari gerangan manusia yang akan menjadi jirannya di syurga kelak. Apabila berjumpa alamat dan ciri-ciri seperti dikhabarkan Allah kepada baginda lalu Nabi Musa a.s. memberi salam kepada tuan rumah tersebut iaitu seorang pemuda. Selepas menjawab salam, membuka pintu dan mempelawa masuk pemuda tidak terus melayan akan tetamunya iaitu Nabi Musa a.s. tetapi masuk semula ke dalam bilik dan melakukan tugasnya yang terbengkalai. Kemudian Nabi Musa melihat pemuda itu keluar dengan mendukung babi selepas dimandikan. Setelah selesai menguruskan dua ekor babi itu barulah pemuda itu melayan tetamunya Nabi Musa a.s. Bertanyalah Nabi Musa a.s. kepada pemuda itu apakah agama anutannya? Jawab pemuda itu aku menganut agama Tauhid. Tanya Nabi Musa a.s. lagi, agama Tauhid(Islam) tidak membenarkan membela babi?. Jawab pemuda itu, babi itu ialah kedua Ibu Bapanya dan mereka telah berdosa besar kepada Allah dan disumpah menjadi babi. Aku sebagai anak menjalankan tugasku kepada mereka iaitu berbakti dan melayan mereka sebagai tugas anak soleh. Tahulah Nabi Musa a.s. bahawa pemuda itu merupakan anak yang soleh dan melayan kedua ibu bapanya walaupun mereka dalam keadaan rupa seekor babi. Kata setengah pendapat, pemuda yang soleh itu adalah anak kepada seorang wali iaitu Bal’am suami dan isteri yang disumpah menjadi babi.

(Hikayat) Terjadi suatu kisah atas bahtera Nuh a.s. setelah lama dalam pelayaran maka banyaklah najis dan berbau busuklah di atas bahtera tersebut. Maka munajatlah Nuh a.s. kepada Allah supaya dipermudahkan urusan mereka di atas bahtera itu. Maka datanglah Jibril a.s. kepada Nuh a.s. wahai Nuh, sapulah kamu akan dahi gajah itu, lalu disapunya dahi gajah itu dan dengan kudrah Allah terbitlah dari belalai gajah itu babi ternakan yang jenis makan najis. Taajub dan hairanlah mukmin di atas bahtera itu melihat kudrah Allah. Kemudian apabila Iblis yang juga menumpang di bahtera itu melihat keyakinan mukmin atas bahtera itu semakin bertambah disapulah pula belakang babi itu maka keluarlah tikus dari hidung babi tersebut. Menjadi hairanlah Nuh a.s. kerana kehadiran tikus yang merosakkan seluruh bahteranya. Oleh kerana takut tenggelam bahtera itu maka munajatlah Nuh a.s. kepada Allah supaya dihantarkan bantuan segera, maka dating Jibril a.s. disuruh kepada Nuh a.s. supaya digosok dan disapu belakang harimau maka keluarlah kucing lalu diburu segala tikus yang ada. Sejak dari kejadian atas bahtera ini maka kucing dan tikus berseteru sehingga ke hari ini.

Pengajaran kepada kita jagalah adab kerana apabila berhadapan dengan Allah kita beradab sebagai hamba, berhadapan dengan nabi kita beradab sebagai umat, berhadapan dengan guru kita beradab sebagai murid dan apabila berhadapan dengan ibu bapa kita beradab sebagai anak yang soleh.