Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
Warga Melayu ⁽¹⁴⁵⁰⁻⁰⁹⁻ᴷᴰᴴ⁾

Kaum yang sesat lagi menyesatkan bahagian 2

Puak-Puak yang tersesat dalam Bab Sufi

Kumpulan-Kumpulan yang tersesat dalam menyeleweng dari ajaran islam yang sebenarnya dalam bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya :

  1. Kaum Marjiah.

Kepercayaan yang menjadi Iktikad dan pegangan kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai kepada tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ketahap tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. Segala kewajipan yang difardhukan seperti Solat, Puasa, Haji, Zakat dan sebagainya boleh dibuat dan boleh juga ditinggalkan mengikut sesuka hati mereka.

Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka semua harta di dunia adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam, maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka mengambil dan menggunakannya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin dari tuannya yang sah terlebih dahulu.

  • Kaum Auliya’iyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak Auliya’iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ketahap dan martabat wali, maka terangkatlah  semua kewajipan syarak keatas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi kewajipan keatas diri mereka sebagai hamba Allah seperti Solat, Puasa dan sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi.

  • Kaum Syamrakhiyah

Iktikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpura-pura warak apabila berada di khalayak ramai.

  • Kaum Ibahiyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ibahiyah ini ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang dilarang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup menyuruh manusia yang lain supaya melakukan kabaikan dan mereka juga menghalakan zina kepada ahli kumpulan mereka.

  • Kaum Haliayah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada sunnah Rasulullah s.a.w. yang perlu di ikut oleh semua manusia lain.

  • Kaum Huriyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan puak-puak Haliayah. Cuma apabila mereka pengsan itu mereka berkata : “ Datanglah kepada kami bidadari, maka kami setubuhi ia” apabila sedar dari pengsan mereka akan pergi mandi junub.

  • Kaum Waqi’iyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifatNya, AsmaNya dan segala perbuatan Allah tidak boleh dikenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah.

  • Kaum Mutajalihiyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih, mereka juga suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan melakukan zina.

  • Kaum Mutakasiliyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki dari Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka.

  1. Kaum Ilhamiah.

Iktikad dan pengangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka salalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca Al-Quran, meninggalkan zikir dan segala selawat, kerana dakwa mereka bahawa Al-Quran itu menjadi pendinding untuk mereka sampai kepada Makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.

  1. Kaum Hululiyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma masuk dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di ala mini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ tempat Tajalli (kebenaran yang diperlihatkan Allah) ketuhanan. Mereka juga selalu bersuluk (mengasingkan diri untuk bertafakur), melakukan zikir dengan bercampur antara lelaki dan perempuan memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik, kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak daripada Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan mengunakan niat sahaja.

  1. Kaum Wujudiyah.

Iktikad dan pegangan puak-puak wujudiah ini, sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata. (orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama Allah yang sebenarnya). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama. Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh dilihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata.

  1. Kaum Mujassimah.

Iktikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu berjisim dan berbentuk seperti mana manusia, iaitu boleh dirasa, boleh dilihat dan boleh dipegang.

Kesimpulannya segala pegangan dan akidah serta iktikad dan pahaman yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang terang menyeleweng dari ajaran islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa mereka adalah sebahagian daripa umat islam. Sebenarnya puak-puak inilah yang telah merosakan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahan ajaran dan pengagan kumpulan tersebut. Mereka semua akan dihumbankan ke dalam neraka oleh Allah di akhirat kelak. Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti Ahli dan Kumpulan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan ri redhai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut.