Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
Warga Melayu ⁽¹⁴⁵⁰⁻⁰⁹⁻ᴷᴰᴴ⁾

Kaum yang sesat lagi menyesatkan bahagian 1

Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga (73) puak, hanya satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa. Sewaktu ditanya : “Siapakah yang terselamat itu?” baginda menjawab “itulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah” Di Tanya lagi : “Apakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu?” Baginda bersabda : “Perjalanku hari ini dan para sahabatku”.

Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah 72 puak yang sesat itu. Adakah kita termasuk didalam salah satu puak yang tersesat itu, disini dibentangkan serba ringkas antara puak-puak yang tersesat tersebut, sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Daud Al-Fatani dalam buku Manhalush Shafi antaranya :-

Puak-puak yang tersesat dalam Bab Syariat.

Puak-puak yang tersesat dalam bab syariat ini ialah, golongan yang menambah-nambahkan atau mengurangkansesuatu perkara dalam bab ibadat dan hukum hakam , tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. ataupun dari perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang muktabar, samada perbuatan itu wajib, haram, sunat, makruh ataupun harus. Kemudian perbuatan dan amalan tersebut diamalkan pada diri, keluarga dan masyarakat. Perkara amalan tersebut dikenali dengan istilah syarak sebagai Bidaah Dholalah yang Karohah dan Bidaah Dholalah yang Haram yang mesti dijauhi oleh setiap orang Islam.

Puak-puak yang tersesat dalam Bab Akidah.

Terdapat 72 puak yang tersesat dalam bab akidah ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terang bercanggah dengan peganggan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah dibawa Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatn Baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah :

  1. Kaum Rafidhiyah -12 Puak.

Kesesatan puak-puak ini dalam bab akidah berlaku kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas bercanggah sama sekali dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka terdiri daripada orang-orang islam. Antara pegangan mereka ialah :

  • Mereka beritikad bahawa Saidina Ali k.w.h akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu berupa seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan yang dibangsakan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula ke langit.
  • Mereka juga berpegang bahawa Malaikat Jibrail telah tersalah member wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya wahyu tersebut untuk Saidina Ali k.w.h.
  • Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Ali k.w.h berkerjasama dan bersyarikat dalam melakukan pekerjaan keNabian.
  • Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h sahaja. Oleh itu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, dan Saidina Osman sentiasa berada dalam kafir kerana menerima menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga mengkeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat lain yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali k.w.h.
  • Mereka percaya bahawa apabila terkeluar roh dari seorang anak Adam (mati), maka roh orang yang mati itu akan masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama dan rupa yang lain atau serupa.
  • Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali k.w.h. juga akan kembali hidup semula di akhir zaman sebelum berlakunya hari Kiamat. Beliau akan dating dan menghukum semua musuh-musuhnya, tempat beliau sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat itu adalah suara cemeti Saidina Ali k.w.h.
  • Mereka percaya bahawa kadang-kadang zat Allah akan zahir dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang lurus. Jika zat Allah tidak zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan masuk

kedalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut.


2.Kaum Jabariah – 12 Puak.

Puak-puak jabariah ini juga terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Antara iktikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya ialah:

  • Keimanan, ketaatan dan kekufuran serta maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu semua hamba Allah (manusia) digugurkan daripada taklif syarak. (Kewajipan bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah)
  • Mereka juga mendakwa dan percaya setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu kebaikan dan pahala, begitu juga perbuatan jahat dan maksiat yang dilakukan manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa dosa dan tidak mendapat apa-apa siksaan di akhirat kelak.
  • Bertafakur (bermeditasi) itu adalah lebih baik daripada segala ibadat samada ibadat yang fardhu atau sunat
  • Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat serta beliau mempunyai ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu belaiu tidak perlu lagi melakukan apa-apa ibadat.
  • Orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat tidak akan di tanya serta di soal di hari Akhirat kelak, kerana segala perbuatan mereka itu adalah atas kehendak Allah.
  • Bahawa Allah tidak akan menyiksa hamba-hambanya, kerana jika Allah menyiksa hamba-hambanya juga, maka Allah itu adalah zalim, sedangkan Allah bersifat maha Adil.
  • Allah akan menghidupkan orang-orang yang kafir dan melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selama-lamanya.
  • Apabila Allah telah selesai menjadikan segala makhluknya maka Allah akan berisitrehat, maka tiap-tiap perkara itu akan zahir dan wujud dengan sendirinya bila tiba waktu dan masa yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kene mengena dengan kudrat dan iradat Allah lagi.
  • Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya) dan tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta benda mereka.
  • Apabila seseorang itu terasa hendak melakukansesuatu samada perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan maksiat, maka hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana ianya merupakan wahyu daripada Allah tang telah dicampakan kedalam hatinya oleh Allah.
  • Semua kewajipan dan kefardhuan yang diwajibkan oleh Allah itu boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh juga ditinggalkan juka seseorang itu merasa malas.
  • Segala perintah Allah itu perlu dilakukan sekali sahaja dan tidak payah lagi di ulang-ulang.
  • Menjadi seorang muslim hanya memadai dengan mengucap Dua Kalimah Syahadah dan tidak perlu melakukan kewajipan-kewajipan yang lain.

3. Kaum Kharijiah – 12 Puak.

Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiah yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya ialah :

  • Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah Allah dan yang menyebabkan kejahatanitu adalah daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri, Mereka juga menghukum kafir ke atas orang-orang islam yang melakukan dosa-dosa besar.
  • Bahawa zakat itu tidak diwajibkan ke atas umat Islam, oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak mana yang mereka sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan ke[ada sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir.
  • Bahawa Allah akan menghimpunkan semua dosa-dosa Syirik jail dan tidak perlu mengucap Dua Kalimah Syahadah untuk kembali kepada Islam.
  • Tidak wajib beriman dengan perkara-perkara Ghaib seperti malaikat, dosa dan pahala, hari kiamat dan sebagainya.
  • Allah tidak akan menghukum makhluknya dengan sesuatu hukuman.
  • Matahari, bulan, bintang dan cakerawala di angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah.
  • Semua orang perempuan itu merupakan perhiasan kepada orang lelaki, oleh itu boleh melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya.
  • Saidina Ali k.w.h. itu merupakan seorang kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam
  • 4. Kaum Qadariah – 12 Puak.

Antara pegangan dan iktikad mereka yang menyeleweng ialah :

  • Segala usaha ikhtiar, cita-cita dan doa-doa manusia akan member kesan dengan sendirinya, setelah Allah selesai menciptakan ikhtiar, usaha, cita-cita dan rangkaian doa kepada manusia.
  • Syaitan itu serupa dengan Allah kerana syaitan juga tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata ( tidak boleh dilihat dengan mata kasar) seperti Allah.
  • Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu adalah syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah semata-mata.
  • Sesuatu Qada dan Qada itu bukanlah daripada Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri.
  • Beramal dan melakukan ibadat itu adalah merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja kerana setiap yang baik dan jahat itu telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi.
  • Syurga, Neraka, Hisab dan Mizan tidak wujud lagi sekarang kerana belum dijadikan Allah lagi, sehingga apabila telah tiba hari kiamat.
  • Bahawa segala amal ibadat itu, adalah berpunca dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi samada akan beroleh pahala atau dosa, jika mereka meniggalkan atau melakukanya
  • Bahawa Allah tidak menciptakan syaitan kerana jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah mencipta kekufuran, maka dengan itu menunjukan bahawa Allah juga suka kepada kekufuran.
  • Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat yang fardhu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang yang empat rakaat juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja.
  • Semua kitab Allah yang diturunkan dari langit tidak lagi mansukh (batal) dengan turunnya kitab Al-Quran, dengan itu wajib beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut.

  5.Kaum Jahmiah – 12 Puak.

Antara kepercayaan dan pegangan akidah golongan ini ialah :

  • Asma-asma Allah dan sifat-sifat Allah itu adalah merupakan makhluk.
  • Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas rupa hulul dan itihad
  • Orang islam yang derhaka apabila dimasukan ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.
  • Apabila segala isi nerak itu menjadi abu, mereka tidak akan dihidupkan semula.
  • Mayat orang mati tidak merasai azab dan siksaan atau nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja.
  • Bahawa zat-zat Allah itu berdiri antara langit dan bumi
  • Bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah di dalam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di Akhirat sahaja.

6. Kaum Murjiah – 12 Puak.

Antara iktikad mereka yang menyeleweng dan sesat ialah :

  • Selepas seseorang itu telah membicarakan rukun Iman maka ia tidak lagi difardhukan apa-apa.
  • Bahawa Allahlah yang menjadikan semua mahkluknya tetapi Allah tidak pula menyuruh manusia melakukan kejahatan dan tidak pula melarang manusia daripada meninggalkannya.
  • Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka ia telah bebas samada untuk melakukan ketaatan kepada Allah atau melakukan kejahatan.
  • Barang siapa yang megesakan Zat Allah, Sifat-sifat Allah dan segala Perbuatan Allah maka mereka tidak akan dicatatkan apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan
  • Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada Jauhar dan ‘Aradh ( sel atau nucleus)
  • Iman seseorang itu akan berkurang pada tiap-tiap tahun dan tidak akan bertambah lagi
  • Sah sujud kepada matahari, bulan dan bintang atau makhluk lain sama seperti sujud kepada Allah
  • Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang tidak berilmu maka ia telah menjadi kafir
  • Seseorang manusia boleh menjadi mukmin pada ketika yang dikehendaki oleh Allah manusia juga boleh menjadi kafir jika dikehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa.
  • Allah tidak bersifat dengan segala sifat Ujudiah.
  • Boleh dan sah mengikut perintah atau rahan daripada Syaitan atau Jin, samada Jin Islam atau Kafir, walaupun perintah bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat.